Tiada
kaitan jantina, mungkin petanda anak alami masalah pendengaran, autisme
SEAKAN
wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai
alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap.
Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?
Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?
Mengajukan
persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains
Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr.
Basyariatul (Basha) Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah
mitos.
“Kanak-kanak
yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat
kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk
pemilihan permainan.
“Budak
perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka
seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu
proses pembinaan pertuturan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya,
sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong
sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan
pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap
akan menjadi semakin lancar.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ daripada mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ daripada mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.
“Justeru
saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak
perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan
kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan
pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepat mereka belajar perkataan
baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.
Namun,
bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat
bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?
“Kanak-kanak
yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun
setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu
dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami
masalah.
“Masalah
bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan Bahasa kerana dalam
setiap kes dirujuk, kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk
menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang
mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada
Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada
masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain.
Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.
Apakah
bezanya antara masalah bercakap dengan pertuturan? Katanya masalah lambat cakap
dikaitkan pelbagai faktor komunikasi termasuk kurang rangsangan untuk bercakap.
Bagi
masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar
bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses
normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar
lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus
bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila
kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka
masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan bahasa.
Jelasnya
seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata - kata membebel atau ‘baby talk’
seperti 'aa', 'aa', 'ahggege', 'bababa', 'dededed', 'mamamam', 'nanana' dan
seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha
merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan
mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.
Mengenai
kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di
rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr. Basha berkata, ia tidak
semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu
membezakan bahasa bila sampai masanya.
Pada
peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin
ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang
dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah
kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak
bahasa.
Tidak
dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat
bercakap.
“Untuk
mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu
memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan
umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan
menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.
“Jika
ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak
sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahaminya sudah tentulah akan
memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka.
Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak.
Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak
-kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.
“Sebetulnya
selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan
fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah
perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa
optimum,” katanya.
Jelasnya
masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih
besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.
“Segeralah
merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak.
Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa
boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai
masalah berkaitan.
FAKTA:
Klinik Audiologi & Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan
Temerloh, Kuala Lumpur
- Ia
adalah klinik pengajaran bagi mahasiswa UKM yang diselia oleh audiologis
dan terapi patologis pertuturan-bahasa yang bertauliah.
- Menyediakan
kepakaran dalam menilai, mencegah serta mengendalikan masalah pendengaran
dan komunikasi.
- Menyediakan
kelengkapan peralatan klinik yang canggih.
- Antara
klinik pendengaran dan pertuturan terawal ditubuhkan dan masih menjadi
pusat rujukan utama dalam negara.
- Tel
: 03-92895040/92895041.